Raja Lawak 5 - Senarai Nama 12 Finalis

12 finalis yang sudah bersedia untuk berentap di Gelanggang Raja Lawak Astro sekaligus menjadi pelapis bagi memeriahkan lagi industri hiburan tanahair terutamanya dalam bidang lawak dan jenaka yang semakin rancak membangun telahpun diumumkan di majlis sidang akhbar yang diadakan pada 27 Disember 2010 di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Masih mengekalkan konsep dan format yang sama seperti empat musim sebelum ini, program Raja Lawak; sebuah program realiti pencarian bakat untuk menjadi pelapis dalam bidang komedi di kalangan rakyat Malaysia kini kembali menggamatkan kaca televisyen untuk musim kelima dan bakal bersiaran pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 7 Januari 2010 di Astro Prima (saluran 105).

12 finalis terbaik telah dikenal pasti menerusi sesi ujibakat yang teliti terdiri daripada lapan peserta berkumpulan iaitu; Kumpulan PUKAW, Kumpulan R2, Kumpulan BOBO, Kumpulan KOPIO, Kumpulan BALAS, Kumpulan KAMI, Kumpulan LUCKY, Kumpulan TBO serta empat peserta solo iaitu; NAZMI, MAN, EPY dan LEMAN.

Seperti musim-musim sudah, kesemua peserta akan ditempatkan di sebuah lokasi dan bakal menerima latihan serta bimbingan profesional oleh barisan pengkritik tetap pada setiap minggu secara bergilir-gilir sebagai persediaan sebelum membuat persembahan mingguan secara langsung.

Tiga orang pengkritik tetap akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. Mereka bakal menilai para peserta berdasarkan kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan; keaslian persembahan dan kreativiti; bakat dan kemahiran lakonan serta sama ada para peserta berpotensi diketengahkan sebagai pelawak.

Walau bagaimanapun, nasib para peserta akan ditentukan sepenuhnya berdasarkan sistem pemarkahan 100% undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan tersingkir. Cara-cara untuk mengundi akan diumumkan dari semasa ke semasa di saluran Astro Prima.

Sebagai pembuka tirai, para penonton bakal menyaksikan sedutan-sedutan dari sesi ujibakat melalui program Al Kisah Raja Lawak Astro sebanyak dua episod pada 30 & 31 Disember 2010 (Khamis &Jumaat), jam 9.00 malam. Setiap gelagat, aktiviti mahupun rutin harian para peserta akan dipaparkan selama lima minit setiap siaran menerusi program Kapsul Raja Lawak Astro pada setiap Isnin hingga Khamis pada jam 9.00 malam bermula 3 Januari 2011. Manakala persembahan para peserta pada setiap minggu boleh ditonton menerusi program Gelanggang Raja Lawak Astro yang bakal bersiaran secara langsung pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam bermula 7 Januari 2010 dari studio Finas, Hulu Kelang.

Program Raja Lawak Musim Kelima sekali lagi bakal menyaksikan gandingan mantap Mohd Yazid Lim Mohamad Aziz atau lebih dikenali sebagai Johan dan Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan yang telah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara di Gelanggang Raja Lawak Astro pada setiap minggu.

Pihak Astro juga amat berbesar hati untuk mengumumkan kehadiran Radio Sinar FM sebagai radio rasmi Raja Lawak Astro dan turut disokong oleh Radio Era FM serta Murai.com.my selaku portal hiburan rasmi untuk musim ini.

Untuk keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman web rasmi di www.rajalawak.com.my atau dengan menekan butang merah ”R” yang terdapat di alat kawalan jauh Astro.

sumber: www.astro.com.my/rajalawak

3 ulasan:

fathiah berkata...

raja lawak... xbole nak tgk laaa.. :(

kelana fana berkata...

~Fat~ why.. (?_?)

zmah berkata...

setakat ini hanya pernah tengok iklan saja...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails
Real Time Web Analytics